Saya rasmikan blog ni dengan berkongsi resipi Bingka Kentang Pontianak kerana idea untuk menamakan blog ini diperoleh setelah terfikir mengenai keenakan bingka ini.
Saya mengenali Bingka Kentang Pontianak semasa lawatan kali kedua saya ke Kota Pontianak setelah mendapat saranan daripada kawan yang pernah menikmatinya. Dan memang betul, rasanya yang lembut, berlemak dan manis telah memikat hati saya. Perbezaan bingka ini dengan bingka di tempat kita adalah teksturnya yang lembut, sangat lembut okay...
Baiklah, saya kongsikan resepi yang telah saya ubahsuai sedikit. Resepi ini saya perolehi dari internet lama dahulu sehingga tak ingat dah sumbernya. Walau bagaimanapun, kalau kita google sekarang, resepi ini pasti akan dapat ditemui di dalam blog-blog.
Bahan-bahannya
160 gram gula pasir (dikemaskini pada 17 dec 2013 selepas berpuashati dgn kadar kemanisan bingka. resepi asal guna 250 gram gula)
3 biji telur ayam
75 gram tepung gandum
600ml santan kotak
1/2 sudu teh vanilla
1/2 sudu teh garam
250 gram kentang (rebus dan lenyek)
Cara membuatnya
- Pukul gula pasir dan telur ayam sehingga kembang.
- Masukkan kentang yang sudak dilenyek(boleh juga blend bersama sebahagian santan) diikuti dengan tepung gandum yang telah diayak.
- Kemudian, masukkan santan, vanilla dan garam. Pukul hingga sebati.
- Lengser loyang dengan mentega dan taburkan dengan tepung (supaya mudah dikeluarkan).
- Tuangkan adunan ke dalam loyang tersebut sehingga hampir penuh (tinggalkan ruang untuk adunan bingka mengembang semasa dimasak)
- Masukkan ke dala oven dan bakar menggunakan api atas bawah dengan suhu 180 darjah celcius selama 45 minit. *Sekiranya menggunakan oven serikin (oven gas), bakar selama 45 minit menggunakan api bawah dan 10 minit kemudian menggunakan api atas. Kekuatan api sederhana.
Selamat menjamu selera dan selamat mencuba!
